versi terkini Seorang aktivis Pemuda Parti Keadilan Nasional Lokman Noor Adam ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Shah Alam, Selangor selepas tengah malam tadi.

Sumber-sumber pembangkang memberitahu malaysiakini , beliau ditahan sekitar jam 12.15 tengah malam selepas satu majlis ceramah kelompok di bilik gerakan parti itu, di Seksyen 9.

Lokman ditahan ketika beliau sedang bergerak untuk menaiki sebuah kereta dan dibawa oleh polis dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda Pajero.

Menurut sumber itu, kira-kira lapan pegawai polis berpakaian biasa mengepung Lokman dan beliau ditahan ketika dikerumuni oleh sekumpulan penyokong parti itu dan PAS.

Turut hadir dalam majlis ceramah tersebut, Naib Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub. Bagaimanapun beliau berada di tingkat atas ketika Lokman ditahan di depan pintu di tingkat bawah.

Ketika menangkap Lokman, polis memberitahu Setiausaha Pemuda Keadilan itu ditahan di bawah ISA. Tangkapan ini menjadikan jumlah semuanya sembilan orang sejak operasi yang bermula 10 dan 11 April lalu.

Pemimpin reformasi dipantau

Jumaat lalu, seorang pemimpin Pemuda Keadilan Dr Badrul Amin Baharom ditangkap di rumahnya di Kepong, Selangor jam 1.30 pagi.

Mereka yang ditahan sebelum ini adalah Naib Presiden Keadilan Tian Chua, Ketua Pemudanya Mohamad Ezam Mohd Nor, Setiausaha Pemuda N Gobalakrishnan, aktivis pergerakan itu Abdul Ghani Haroon, pengerusi jawatankuasa penganjur perhimpunan 'Black 14' Saari Sungib, penulis kolum malaysiakini Hishamuddin Rais dan pengendali laman web FAC (Kempen Bebaskan Anwar) Raja Petra Raja Kamaruddin.

Menurut sumber-sumber pembangkang, polis masih memantau beberapa lagi pemimpin reformasi, termasuklah Abd Malek Hussin.

Lokman, Saari dan Malek pernah ditahan di bawah akta yang sama ketika operasi pada September dan Oktober 1998, selepas penangkapan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan-rakannya.

Dalam perkembangan berkaitan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan menghantar sekali lagi surat kepada polis bagi membenarkan badan bebas itu melawat tahanan ISA sejak operasi tangkapan dua minggu lalu.

Polis setakat ini tidak pernah menjawab surat Suhakam untuk tujuan itu yang telah dihantar pada 13 April lalu. Kelambatan ini menyebabkan seorang pesuruhjayanya Tan Sri Anuar Zainal Abidin merungut hal itu kepada media Jumaat lalu.

Suhakam lawat tahanan

"Kami akan mengingatkan polis lagi. Surat kali ini bukan permohonan, tetapi untuk memaklumkan bahawa kita akan pergi melawat," kata Anuar hari ini.

Menurutnya, seksyen 4(2) (d) akta penubuhan suruhanjaya itu membenarkan badan tersebut "melawat tempat-tempat tahanan menurut tatacara yang telah ditetapkan oleh undang-undang berhubung tempat tersebut dan membuat saranan-saranan yang wajar."

Anuar berkata Suhakam ingin menyiasat bagaimana tahanan-tahanan ISA itu dikendalikan dan apakah alasan mereka ditahan. Suruhanjaya itu juga akan memujuk polis membenarkan anggota-anggota keluarga tahanan melawat mereka, tambahnya.

"Mustahak bagi ahli keluarga (tahanan) menziarahi mereka," katanya.

Sekurang-kurangnya Suhakam perlu tahu tempat mereka ditahan, tambahnya.

Bagaimanapun Anuar tidak menyebutkan tarikh khusus suruhanjaya itu akan mengadakan lawatan tersebut tetapi beliau memberikan jaminan ia akan diusahakan secepat mungkin.

Sebelum itu isteri tahanan terbaru ISA, Noor Farahin Ahmad, 27, melaporkan tangkapan terhadap suaminya Lokman di pejabat Suhakam.

Bukit Aman sahkan

Menurut Noor Farahin, beliau mengetahui suaminya ditahan jam 3 pagi ini melalui seorang kenalan suaminya, dan polis hanya memaklumkan kepadanya tengahari tadi.

Sementara itu seorang pegawai perhubungan awam, ASP Zakaria Pagan, di Ibu Pejabat Polis Persekutuan di Bukit Aman mengesahkan Lokman ditahan di bawah seksyen 73 (1) akta itu, yang membenarkan kurungan tanpa perbicaraan sehingga 60 hari.

"Saya harap saya dapat berjumpa suami saya secepat mungkin dan melihat keadaannya," kata Noor Farahin kepada pesuruhjaya Suhakam itu.

Beliau juga memberitahu, suaminya pernah ditahan di bawah akta yang sama pada Oktober 1998 selama 59 hari dan beliau hanya dibenarkan bertemu Lokman pada hari ke-29.

Turut bersama Noor Farahin petang tadi, Ketua Pemuda PAS Mahfuz Omar dan ahli jawatankuasa pusat Keadilan, Irene Fernandez.

Berita-berita berkaitan: