BERITA

'Papagomo' kata mahu berhenti tulis blog

Diterbitkan
Dikemaskini 6 Jun 2013, 9:16 pagi

Pengendali blog kontroversi papagomo.com mengumumkan akan menamatkan penulisan di laman berkenaan kerana ingin menumpukan usaha kepada perniagaan menjual pakaian.

Laporan laman Sinar Harian Online menyebut, pengendali blog berkenaan mengumumkan perkara itu di laman media sosial Twitter pada hari Isnin lalu.

"I'm done (saya sudah habis). Itu yang Gomo boleh katakan dalam perjuangan dengan nama blog Papa Gomo. Bagi peluang blogger baru gegar alam maya ini.

"Gomo nak fokus pada perniagaan pakaian tu. Lagipun bulan puasa dah nak tiba dan ni masanya nak cari duit lebih," tulisnya.

Pengumuman itu dibuat beberapa hari sebelum Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh untuk mendengar Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes saman beliau terhadap penulis blog papagomo.com itu.

Anwart mendakwa penulis blog berkenaan, Wan Muhammad Azri Wan Deris menyiarkan perkataan fitnah dan mengaitkan beliau dengan seorang lelaki dalam video seks.

Hakim Rosilah Yop semalam menetapkan tarikh 28 Jan 2014 untuk mendengar kes saman itu.

Pada 21 Mac lepas, Anwar memfailkan saman fitnah RM100 juta dengan mendakwa Wan Muhammad Azri, pemilik laman blog www.papagomo.com menyiarkan empat siri perkataan fitnah dalam laman web itu pada 16, 17, 19 dan 20 Mac lepas.

Wan Muhammad Azri dalam satu pernyataan di mahkamah pada akhir bulan lalu menafikan bahawa beliau merupakan penulis blog papagomo.com.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.