'Kemuka bukti dalam petisyen sebelum minta letak jawatan'
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusuf meminta pembangkang mengemukakan bukti dalam petisyen berhubung dakwaan berlakunya penipuan dalam pilihan raya umum lalu, jika mahu mendesak kepimpinan suruhanjaya meletakkan jawatan.
"Seluruh anggota SPR tidak akan meletak jawatan atas desakan pihak berkenaan. Saya menerima banyak panggilan telefon untuk saya tidak tunduk dengan desakan itu.
"Apa salah kita? Seluruh dunia akan ketawa jika kita tunduk hanya sebab desakan itu.
"Buktikan dalam petisyen bahawa SPR melakukan banyak kesilapan dan pembohongan salah laku, rasuah sehingga kalah orang itu, menang orang ini. Buktikan, barulah ada asas untuk letak jawatan," katanya dalam Sinar Harian dipetik.
Abdul Aziz berkata demikian ketika ditanya mengenai tuntutan Black 505 yang mendesak supaya anggota SPR meletakkan jawatan dalam tembual eksklusif dengan akhbar itu yang disiarkan hari ini.
Pembangkang sebelum ini mendesak supaya anggota SPR meletakkan jawatan, mengadakan pemilihan baru terhadap 30 kawasan Parlimen dan merangka semula persempadanan semula selepas SPR yang baru dilantik.
Dalam temubual itu juga, Abdul Aziz berkata anggota SPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong serta jawatan seseorang anggota SPR akan terhenti apabila umur mencapai 66 tahun atau anggota itu meletakkan jawatan dengan rela hati.
Katanya, seseorang anggota SPR hanya boleh dipecat menurut peruntukan undang-undang melalui suatu perintah oleh Yang diPertuan Agong jika anggota itu bankrap atau terlibat dalam apa-apa jawatan berbayar atau menjadi mana-mana ahli Majlis Parlimen atau DUN.
"Selain itu, perlucutan jawatan itu juga boleh dibuat melalui satu tribunal mengikut cara yang sama untuk memecat Hakim Negara.
"Bagaimanapun, jika gesaan dari mana-mana parti politik berhubung dengan pemecatan anggota SPR ini mendapat pertimbangan kerajaan maka suatu tribunal hendaklah ditubuhkan mengikut tatacara yang ditetapkan," katanya lagi.

