Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Shahidan juga boleh jadi PM kalau tak perkauman'
Diterbitkan:  Jun 19, 2013 3:41 PM
Dikemaskini: 7:59 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim juga layak menjadi perdana menteri sekiranya beliau tidak mempunyai sifat perkauman, kata setiausaha politik kepada pengarah pendidikan politik DAP Mahdzir Ibrahim.

Mahdzir berkata kenyataan Shahidan sebelum ini cuba menggambarkan seolah-olah masyarakat Cina bersifat perkauman.

M NONE enurut Mahdzir ( kiri ) lagi, tindakan Shahidan yang sanggup menjadikan jawatan perdana menteri sebagai 'umpan' adalah "permainan politik yang sangat licik dan nakal".

"Ini bukan sahaja satu gambaran buruk dan salah, malah ia merupakan satu penghinaan terhadap masyarakat tersebut.

"Kaum Cina, Melayu atau kaum apa pun, tidak semestinya mahukan jawatan perdana menteri itu diisi berdasarkan keturunan, tetapi berdasarkan merit yakni karisma, kebolehpercayaan dan sifat amanah.

"Inilah kriteria untuk seseorang yang ingin menjadi perdana menteri selain harus mendapat sokongan rakyat terbanyak, sebagaimana yang diperlihatkan dalam jumlah undi popular kepada Pakatan Rakyat sebanyak 51 peratus pada PRU ke-13," katanya dalam satu kenyataan.

Mahdzir mengulas kenyataan Shahidan yang dilapor menasihatkan masyarakat Cina supaya menjauhkan diri daripada apa yang didakwanya sebagai perkauman yang diterapkan pembangkang dan bercampur dengan bangsa lain.

"Jika orang Cina bersedia melangkah melangkaui sempadan kaum, bercampur sepenuhnya dengan masyarakat pelbagai kaum Malaysia dan mengamalkan perkongsian kuasa, saya percaya Malaysia suatu hari nanti akan ada perdana menteri berbangsa Cina," katanya dalam wawancara dengan Sin Chew Daily .

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata Shahidan silap jika beliau menganggap kaum Cina menolak BN dalam pilihan raya umum lalu kerana termakan hasutan DAP.

Sebaliknya, kata Mahdzir, seluruh rakyat Malaysia dari pelbagai kaum menolak Umno dan BN, termasuk wakil PAS dan PKR turut mendapat sokongan majoriti pelbagai bangsa.

"Hakikatnya, rakyat Malaysia mahukan perdana menteri termasuk menteri kabinet yang amanah, bersih dan tidak perkauman.

"Ingin kita ungkapkan di sini, jika Shahidan Kassim bersedia melangkah melangkaui sempadan kaum, bercampur sepenuhnya dengan masyarakat pelbagai kaum Malaysia dan mengamalkan perkongsian kuasa, saya percaya Malaysia suatu hari nanti akan ada perdana menteri dari Perlis.

"Jika Shahidan Kassim juga tidak perkauman, beliau juga boleh jadi perdana menteri, apa salahnya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS