Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V malam tadi bertitah pendekatan wasatiyyah atau kesederhanaan yang dijelaskan dalam al-Quran perlu diterap dalam pembentukan generasi Islam.

"Beta yakin terhadap komitmen kerajaan Malaysia dalam mengaplikasikan konsep wasatiyyah menerusi segenap lapis pengurusan dan pentadbirannya," titah baginda ketika merasmikan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2013 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur malam tadi.

Konsep itu sangat penting diterapkan jika mahu mewujudkan keseimbangan ke arah membina perpaduan lebih harmoni dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa, agama dan budaya, titah baginda.

Sultan Muhammad V, yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong, bertitah konsep wasatiyyah juga perlu dilaksanakan secara berterusan dalam dasar kerajaan sedia ada serta kehidupan seharian umat Islam.

Dalam pada itu, baginda bertitah pemeliharaan dan penguasaan ilmu hadis perlu diperkasa menerusi pusat pengajian, penyelidikan dan kajian ilmiah.

Titah baginda, dengan wujudnya usaha itu, maka ilmu hadis akan subur dalam kalangan masyarakat.

"Justeru, beta mengimpikan lahirnya masyarakat yang celik hadis sebagai medium utama ummah berinteraksi dengan wahyu," titah baginda.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Selain itu, baginda bertitah gejala pergaulan bebas, seks songsang, dadah, arak, keruntuhan akhlak, keganasan, rasuah dan riba merupakan simptom utama fenomena ketandusan bimbingan wahyu dalam kehidupan.

Sementara itu, Jamil Khir dalam ucapannya berkata menjadi tanggungjawab setiap individu untuk menghayati maksud dan konsep kesederhanaan yang dianjurkan Islam serta memberi sumbangan kepada kejayaan dalam menyatukan umat Islam.

Menurutnya, al-Quran mengingatkan umat Islam untuk menjauhi perpecahan serta bersatu merentasi sempadan negara, mazhab dan kabilah.

Seramai 80 peserta mewakili 49 negara mengesahkan penyertaan pada tilawah kali ini.

Qari dari Jordan, Ibrahim Naim Rizik Al-Dardasawi dan qariah dari Bangladesh, Tahmina Akter memperdengarkan bacaan pada sempena majlis pembukaan itu.

- Bernama