MIC: Bawah 18 tahun sepatutnya tak tukar agama
Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel berkata parti itu mahu rang undang-undang kontroversi, yang memberi hak kepada ibu atau bapa menukar agama anak bawah umur, dipinda kerana bimbang akan mencetus masalah.
Katanya, MIC juga berpendirian agar penukaran agama tidak melibatkan kanak-kanak bawah umur 18 tahun.
Pendirian berkenaan dibangkitkannya dalam mesyuarat kabinet pada minggu lalu, kata menteri sumber asli dan alam sekitar itu dalam satu sidang media pada pagi ini
"Kanak-kanak di bawah 18 tahun - tidak boleh hanya seorang dari ibu-bapa menukar agamanya. Itu akan jadi masalah... Kita akan cadangkan kita perlu sedikit pindaan.
"Bawah 18 tahun sepatutnya tak ada penukaran agama, selepas umur 18 tahun tak ada masalah," katanya lagi.
Menurutnya lagi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom juga sudah menyatakan kesediannya untuk memperhalusi perkara tersebut.
"Dia (Jamil) pun mahu berbincang," katanya ringkas.
Beliau menjelaskan pendirian MIC tentang Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2013.
Seksyen 107(b) dalam cadangan pindaan itu memberikan hak menukar agama kanak-kanak di bawah umur 18 tahun kepada salah seorang ibu bapa yang telah memeluk Islam.

