Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB: Lebih 50 peratus unit Datum Jelatek untuk bumi

Kerajaan Negeri akan mengutamakan pembeli bumiputera dalam projek pembangunan Datum Jelatek di Taman Keramat, Kuala Lumpur kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan meminta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menetapkan lebih 50 peratus tawaran diberi kepada Bumiputera dalam projek pembangunan yang terdiri daripada 337 unit kondominium itu.

"Terdapat projek bersebelahan dengan Datum Jelatek yang dikendalikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kerajaan Pusat menawarkan 30 peratus sahaja diberikan kepada Bumiputera.

"Namun, kerajaan negeri meminta PKNS menetapkan lebih 50 peratus ditawarkan kepada Bumiputera yang terdiri daripada 337 unit. Setakat ini, sebanyak 1029 permohonan Bumiputera diterima untuk dinilai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Shuhaimi Shafei (PKR-Sri Muda) di DUN Selangor di Shah Alam hari ini.

Ia dibangkitkan susulan tindakan sekumpulan aktivis yang berhimpun bagi menuntut kerajaan negeri membatalkan projek pembangunan Datum Jelatek  yang didakwa akan mengubah demografi dan geopolitik kawasan berkenaan.

Harga unit perumahan itu pula didakwa terlalu tinggi dan tidak mampu dibeli oleh orang Melayu, dakwa kumpulan berkenaan, yang berhimpun di hadapan bangunan SUK Shah Alam.

Projek Datum Jelatek di atas tapak 2.4 hektar di sebelah Stesen LRT Jelatek itu melibatkan pembangunan empat blok bangunan kondominium mewah dengan harga seunit hampir sejuta ringgit, selain hotel, pejabat dan pusat membeli-belah.

   

Pembangunan Datum Jelatek dengan nilai pembangunan kasar RM1.2 bilion itu dirancang sejak 2010.

ADS