'Dakwaan MBSA gagal bayar ganti rugi tak benar'
Exco kanan kerajaan negeri Selangor Datuk Teng Chang Khim berkata kerajaan negeri menimbang untuk mengambil tindakan ke atas satu syarikat yang mendakwa Majlis Bandaraya Shah Alam gagal membayar ganti rugi dalam satu tuntutan di mahkamah.
Beliau mendakwa, syarikat berkenaan Menara Biru Sdn Bhd memberi gambaran yang tidak benar apabila mendakwa MBSA gagal membayar ganti rugi tersebut.
"Apa yang dituntut pihak itu adalah kos. Tetapi, mereka (semalam) mendakwa MBSA gagal membayar ganti rugi yang diperintahkan mahkamah.
"(Ini) tidak ada kena mengena dengan kes yang diputuskan.
"Kes ini belum tahu siapa yg menang tetapi gambaran yang diberi kepada akhbar adalah tidak berasas dan merupakan satu pembohongan.
"Kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mereka," katanya Teng dalam satu sidang media hari ini.
Beliau mengulas laporan New Straits Times semalam yang menyebut, syarikat itu berjaya mendapat writ untuk merampas dan menjual Wisma MBSA pada Mac lalu selepas MBSA tidak membayar sebarang ganti rugi.
Kos mahkamah, bukan gantirugi
Namun, menurut Teng, tuntutan syarikat berkenaan adalah untuk mendapatkan kos mahkamah yang ditanggung Menara Biru dalam satu perbicaraan yang diputuskan di Mahkamah Tinggi pada 2009, dan bukannya ganti rugi.
"Menurut laporan MBSA, mereka turut mengemukakan tuntutan balas (terhadap Menara Biru) dalam kes ini.
"Perkara ini kemudiannya dibawa kepada timbang tara tetapi apa berlaku, MBSA tidak berpuas hati dengan penimbang tara itu dan memohon untuk memberhentikan beliau (daripada terus mendengar kes).
"Selepas itu ada rayuan dan seterusnya (ia kini dibawa) ke Mahkamah Persekutuan," kata Teng lagi
Beliau turut mempersoalkan kenapa syarikat tersebut tidak pernah menuntut kos itu sepanjang empat tahun lalu atau menyampaikan writ tuntutan kepada MBSA.
Sementara itu, peguam syarikat Menara Biru, Sharmila Ravindran sewaktu dihubungi Malaysiakini berkata pihaknya akan mengambil langkah-langkah yang dirasakan perlu bergantung kepada tindakan tegas dari pihak MBSA.
Laporan New Straits Times juga semalam mendakwa, usaha untuk menyita bangunan menempatkan ibu pejabat MBSA itu dibatalkan semalam apabila PBT tersebut membayar sebahagian daripada jumlah yang dituntut itu pada saat akhir.

