RUU tukar agama rasmi ditarik balik
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini mengumumkan penarikan Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013 secara rasmi di Dewan Rakyat hari ini.
Rang undang-undang kontroversi itu berhubung isu pengislaman kanak-kanak bawah umur dengan persetujuan hanya seorang ibu atau bapa atau penjaga sahaja.
Pada sesi Parlimen hari ini, Jamil turut menarik balik Rang Undang-undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Pesekutuan) (Pindaan) 2013 dan Rang Undang-undang Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2013.
Jumaat lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju menarik balik Rang Undang-Undang tersebut setelah dibincangkan secara mendalam.
Sebelum ini, pindaan Rang Undang-undang tersebut menerima tentangan keras, termasuk dari MIC dan MCA, selain dari Majlis Peguam, DAP dan Malaysian Consultative Council on Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST).
Golongan itu antaranya merungut bahawa peruntukan itu bertentangan dengan perlembagaan dan melanggar hak bukan Islam.

