Tadbir urus korporat yang baik boleh dicapai melalui perubahan minda atau melalui pengawalan diri daripada bergantung sepenuhnya kepada peraturan dan penguatkuasan, kata bekas timbalan pesuruhjaya Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC), Daniel Li Ming-Chak.

Beliau berkata adalah penting bagi warga korporat untuk mengamalkan disiplin diri dengan menggunapakai prinsip dan amalan terbaik tadbir urus korporat agar mereka menjadi jujur, merendah diri dan mesra rakyat bagi masyarakat keseluruhannya.

"Tadbir urus yang baik bukan sahaja perlu dipatuhi bagi tujuan penguatkuasaan undang-undang tetapi juga bagi memastikan sebarang tindakan yang diambil oleh majikan terhadap pekerja mereka dilakukan dengan cara yang betul dan wajar.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menyampaikan ucaptama pada persidangan mengenai integriti dan tadbir urus yang baik dalam sektor swasta dan awam anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Shah Alam semalam.

Para penceramah pada persidangan sehari yang dirasmikan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim termasuk Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low, yang berkongsi pandangan mereka mengenai tadbir urus korporat yang baik dan integriti.

Turut sependapat dengan pandangan Li, pengurus besar PKNS Othman Omar berkata PKNS, anak syarikat kerajaan negeri Selangor, telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi memupuk tadbir urus yang baik, telus dan berintegriti.

Beliau berkata PKNS merupakan perbadanan pembangunan ekonomi negeri yang pertama menandatangani perakuan integriti korporat dengan SPRM tahun lepas.

"Perakuan itu bukan sahaja untuk pengurusan dan kakitangan kami tetapi juga diperluaskan kepada kontraktor, pembekal, perunding, usaha sama dan rakan projek penswastaan kami," katanya.

Selain itu, Othman berkata PKNS juga melancarkan dasar pemberi maklumat bagi menggalakkan orang awam melaporkan sebarang salah laku dalam PKNS dalam usaha menjadi sebuah pertubuhan yang telus.

Othman berkata PKNS juga melaksanakan sistem tender terbuka sebagai sebahagian daripada tadbir urus korporat yang baik, berintegriti dan telus dalam proses dan prosedur tender.

"Ia perlu dijelaskan bahawa apabila perkara ini dilaksanakan pada 2010, jumlah penjimatan bagi pelaksanaan tender terbuka PKNS sehingga sekarang dianggarkan RM375 juta," katanya.

- Bernama