'Mansuh, ganti, pinda Akta Hasutan tiada masalah...'
Anggota Parlimen BN tiada masalah dengan langkah memansuh, mengganti atau meminda Akta Hasutan 1948 selagi terdapat mekanisme semak dan imbang bagi memastikan ia tidak disalah guna, kata Datuk Chua Tee Yong.
Wakil rakyat Labis itu bagaimanapun berkata, keputusan berkenaan perkara itu bergantung kepada kerajaan.
"Kalau ada jaminan semak dan imbang dan tidak akan digunakan untuk agenda tertentu, saya ingat kebanyakan ahli parlimen akan bersetuju termasuk saya.
"Maka kita tengah melihat sama ada terdapat pindaan atau ada akta-akta baru," katanya kepada Malaysiakini di bangunan Parlimen hari ini.
Katanya, anggota Dewan Rakyat daripada BN tidak terus menyokong sahaja seperti dilakukan terhadap Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013.
"Kita bukan akan terus menyokong semua akta yang diketengahkan seperti baru-baru ini.
"Sama ada pindaan atau akta yang baru, terpulang kepada kerajaanlah," kata bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa itu.
Isu pemansuhan Akta Hasutan kini giat dibincangkan semula kerana selepas perdana menteri mengumumkan hasrat memansuhkannya tahun lalu, ia terus juga digunakan.
Malah, anggota kabinet berbeza pendapat berhubung perkara itu.
Menurut Menteri Pelancongan Datuk Seri Abdul Nazri Aziz, kabinet bersetuju memansuhkan akta kontroversi itu dalam pertemuan tahun lalu dan Jabatan Peguam Negara diminta mengkajinya.
Kenyataan itu berbeza sama sekali dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri S Subramaniam sebelumnya yang berkata, hasrat itu "cadangan" Najib dan kabinet akan "mempertimbangkan" sebelum membuat keputusan.

