MP: K'jaan negeri perlu pinda enakmen isu pengislaman
Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming hari ini menggesa agar kerajaan negeri turut meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam masing-masing berhubung peruntukan mengenai persetujuan ibu bapa memberi izin pengislaman kanak-kanak bawah umur.
Nga dalam sidang media di bangunan Parlimen berkata Negeri Sembilan, Kedah, Perak, Melaka dan Sarawak masih mengekalkan undang-undang yang memberi kebenaran kepada hanya ibu, bapa atau penjaga mengislamkan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.
"Ini adalah jelas bahawa akibat atau kesan daripda peruntukan ini menyebabkan ibu bapa yang bukan Islam tidak mempunyai peluang untuk mendapat keadilan dan ia perlu dibawa ke mahkamah.
"Peguam Negara perlu menasihati kerajaan negeri untuk mengambil langkah sewajarnya bagi meminda peruntukan itu supaya selaras dengan prinsip perlembagaan persekutuan," katanya.
Katanya, peruntukan enakmen di negeri berkenaan meliputi Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2003 - Keupayaan untuk memeluk agama Islam (Negeri Sembilan), Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam Kedah 2008 (Kedah), Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2004 (Perak), Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2002 (Melaka) dan Ordinan Majlis Islam Sarawak 2001 (Sarawak).
Kesemua enakmen itu memperuntukkan bahawa seseorang ibu atau bapa atau penjaga boleh mengizinkan seseorang anak jagaan yang belum mencapai usia 18 tahun untuk memeluk Islam.
Pada Isnin lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengumumkan untuk menarik balik Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013, yang menyatakan peruntukan serupa.
Dalam sidang tersebut, menteri berkenaan turut menarik balik Rang Undang-undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Pesekutuan) (Pindaan) 2013 dan Rang Undang-undang Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2013.

