Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ia hanya membuang masa sekiranya beliau menyahut cabaran yang dikemukakan Anggota Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo untuk berbahas mengenai Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

    

Menyifatkan cabaran itu sebagai hanya mahu mendapat publisiti murah, beliau berkata ia tidak berguna untuk membahaskan cadangan penubuhan Suruhanjaya itu yang telah ditolak oleh kerajaan pada 2009.

    

"Kerajaan telah menggantikannya dan Parlimen telah meluluskan Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan. Oleh itu cabaran untuk berdebat mengenai IPCMC adalah sia-sia dan tidak akan mendatangkan sebarang hasil," katanya kepada pemberita ketika melawat tapak baharu bagi pembinaan masjid di Muara Tebas di Kuching.

    

Wan Junaidi diminta mengulas cabaran yang dikemukakan Gobind berhubung IPCMC yang Anggota Parlimen pembangkang itu menyifatkan penolakan IPCMC sebagai salah.

    

"Saya tidak berminat untuk berbahas dengan sesiapa yang tidak sopan. Perbahasan akan berakhir dengan siapa yang berteriak paling kuat," katanya.

    

- Bernama