Timbalan Presiden MIC, Datuk Dr S Subramaniam berkata pengguguran dua anggota jawatankuasa kerja pusat (CWC) parti itu boleh "dipersoalkan" jika ia dilakukan kerana "kepentingan" tertentu

"Jika ia dilakukan untuk tujuan mengukuhkan parti, ia adalah baik, (tetapi) jika ia dilakukan dengan kepentingan lain yang boleh dipersoalkan, maka saya fikir ia adalah sesuatu yang kita perlu fikirkan," katanya.

Subramaniam yang berhati-hati ketika mengulas perkara itu ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini, bagaimanapun, enggan menyatakan apakah sebab-sebab yang boleh "dipersoalkan" itu.

"Anda perlu bertanya kepada orang berkenaan (Palanivel) yang melakukan (perubahan tersebut)," kata menteri kesihatan itu selepas sesi penggulungan bagi kementeriannya untuk Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2012.

beliau bagaimanapun, menegaskan bahawa mengikut perlembagaan MIC, presiden parti mempunyai kuasa penuh untuk menentukan siapa yang menganggotai CWC.

Oleh itu, katanya, perubahan dalam jawatankuasa itu "bukanlah luar biasa".

Semalam, Presiden MIC, G Palanivel mengumumkan bahawa S Vell Paari (kiri) dan ketua sayap Puteri, J Usha Nandini digugurkan daripada CWC.

Mereka digantikan oleh bekas naib presiden S Sothinathan dan S Sunthar.

Sunthar adalah anak bekas timbalan presiden, Datuk S Subramaniam manakala Vell Paari pula anak bekas presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.

Perubahan secara tiba-tiba itu, yang tidak dinyatakan sebab-sebabnya, dilakukan ketika tercetus spekulasi mengenai kemungkinan Subramaniam mencabar Palanivel dalam pemilihan parti akhir tahun ini.