Blok Pakatan Rakyat hari ini gagal merujuk MP Simpang Renggam Liang Teck Meng ke jawatankuasa hak dan keistimewaan Parlimen atas kenyataan yang mendakwa ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki wang ratusan juta ringgit dalam akaun bank luar negara.
Hanya 60 orang MP menyokong usul berkenaan, berbanding 107 undi menentang, apabila perkara itu diputuskan secara undi belah bahagi di Dewan Rakyat petang ini.
"Ini bermakna usul yang dibawa Jelutong untuk bawa Simpang Renggam ke jawatankuasa hak dan keistimewaan parlimen ditolak oleh majlis," kata Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Usul untuk merujuk Liang ke jawartankuasa berkenaan difailkan oleh Jeff Ooi (DAP-Jelutong) yang mendakwa kenyataan Liang pada 2 Julai lalu itu melanggar Peraturan Mesyuarat 36 (12).
Peruntukan itu menetapkan bahawa ahli yang mengeluarkan kenyataan Dewan dianggap menghina majlis dan boleh dirujuk kepada jawatankuasa tersebut.
Liang dalam ucapan kontroversi itu mendakwa Anwar memiliki 20 akaun bank yang berpangkalan di luar negara termasuk Israel dengan jumlah simpanan kira-kira RM332 juta.
MP tersebut mendakwa mendapat maklumat itu daripada laman web pembocor maklumat Wikileaks.
Ooi bagaimanapun dalam ucapannya di Dewan Rakyat pada 4 Julai berkata, Liang berhujang dengan menggunakan sumber palsu untuk mengelirukan Dewan.
Dakwaan yang disebut oleh Liang juga tidak dapat diperolehinya di Wikileaks.
Sebaliknya, dakwaan tersebut adalah berdasarkan tulisan dalam blog tanpa nama yang tidak layak dipercayai, katanya.
