Hakim Mahkamah Persekutuan yang telahpun bersara Datuk Seri Gopal Sri Ram tampil buat julung kali di mahkamah tertinggi itu sebagai peguam bagi sebuah syarikat yang terlibat dalam pertikaian mahkamah berhubung award timbangtara.

    

Sri Ram, 69, yang bersara daripada Mahkamah Persekutuan pada Februari 2010, hadir dan berhujah bagi pihak syarikat MTM Millenium Holdings Sdn Bhd di hadapan panel lima hakim terdiri daripada rakan setara dengannya.

    

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum mengetuai panel hakim itu yang turut dianggotai Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Ahmad Maarop, dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha.

    

Peguam yang berada di mahkamah atas urusan mahkamah yang lain mengambil peluang itu untuk menyaksikan Sri Ram bertindak sebagai seorang peguam.

Selepas pendengaran kes itu selesai, beberapa peguam dan pelajar ijazah undang-undang dilihat bergambar dengan Sri Ram di luar mahkamah.

    

Ketika ditemui media, Sri Ram enggan memberi ulasan mengenai kehadirannya di mahkamah.

    

MTM Millenium Holdings Sdn Bhd memohon kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 5 Julai tahun ini dalam membenarkan penangguhan bersyarat kepada syarikat berkenaan.

    

Pasukhas Constructions Sdn Bhd dan I-Innovations Construction Sdn Bhd memperoleh award timbangtara berjumlah RM4.8 juta terhadap MTM Millenium pada 28 Mei tahun lepas, berhubung bayaran kemajuan bagi kerja yang siap berkaitan sebuah projek pembinaan di Cherating, Pahang.

    

MTM Millenium gagal dalam percubaannya di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan award timbangtara itu.

    

Sementara menunggu pendengaran permohonan mereka bagi kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan, MTM Millenium memohon kepada Mahkamah Rayuan penangguhan penguatkuasaan award timbangtara itu tetapi Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan bersyarat berdasarkan syarat bahawa MTM Millenium mendeposit jumlah award timbangtara itu ke dalam satu akaun peguamcara bersama dalam tempoh dua minggu.

    

Tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan bersyarat itu, MTM Millenium memohon kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan.

Selepas mendengar penghujahan daripada kedua-dua pihak berhubung perkara itu, panel lima anggota itu membenarkan permohonan MTM Millenium dan memberi kebenaran untuk merayu kepada syarikat berkenaan.

    

Mahkamah Persekutuan turut memerintahkan MTM Millenium supaya menangguhkan 'penangguhan bersyarat' itu sementara menunggu rayuan.

    

Sri Ram terdahulu berhujah bahawa Mahkamah Rayuan tidak boleh mengenakan penangguhan bersyarat berikutan peruntukan mengikut Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.

- Bernama