Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal memberi jaminan untuk menurunkan barisan terkuat pada perlawanan persahabatan menentang kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea FC di Stadium Shah Alam, malam ini.

Jurulatih berusia 57 tahun itu bagaimanapun berkata beliau terlebih dahulu perlu melihat tahap kecergasan pemain skuad berkenaan sebelum memuktamadkan pemilihan pemain untuk menghadapi kelab itu.

"Kita ada 26 pemain terbaik dan saya tidak fikir akan menurunkan skuad utama setiap masa kerana kita perlu melihat situasi semasa pasukan kerana ada pemain yang masih mengalami kecederaan dan sebagainya," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan skuad Harimau Malaya di stadium berkenaan, di Shah Alam, malam tadi.

Rajagobal berkata beliau tidak bercadang untuk menurunkan dua pertahanan kental negara iaitu K. Reuben dan Mohd Fadhli Mohd Shas yang baru kembali ke tanah air beberapa hari lepas selepas membantu skuad Harimau Muda A pada temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2013 di Kazan, Russia, baru-baru ini.

Katanya, walaupun dua pemain berkenaan adalah penting di benteng terakhir skuad Harimau Malaya, beliau sebaliknya mahu memberikan muka-muka baharu yang jarang diturunkan untuk mempamerkan persembahan yang boleh membanggakan beliau.

Pada masa yang sama, Rajagobal turut gembira dengan perkembangan tiga pemain utama yang kembali menjalani latihan malam ini selepas ditimpa masalah kecederaan dan kesihatan.

Penyerang, Mohd Safee Sali dan perancang tengah, Safiq Rahim masing-masing sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan pangkal paha dan kaki manakala penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat menghidap demam panas.

"Berdasarkan perkembangan semasa, Mohd Safee dan Safiq Rahim dijangka tidak menghadapi masalah untuk diturunkan esok cuma kebimbangan saya ialah kepada Khairul Fahmi yang belum menunjukkan tanda pemulihan sepenuhnya.

"Saya yakin dua lagi penjaga gol simpanan (Mohd Farizal Marlias dan Norazlan Razali) mampu memikul tugas di gawang terakhir negara," katanya.

Sementara itu, pemain pertahanan tengah Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak berikrar untuk memberikan persembahan terbaik sekiranya dikekalkan selaku kapten pasukan.

Beliau sebelum ini diberikan peluang oleh Rajagobal untuk memakai lilitan di lengan ketika aksi persahabatan menentang kelab Liga Perdana Thailand, Chonburi FC di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa lepas.

"Bagi saya menang atau kalah belakang kira...yang lebih penting bagi saya dan rakan sepasukan lain adalah memberikan persembahan yang boleh menghiburkan penonton yang hadir pada perlawanan esok," kata pemain Johor Darul Takzim (Johor DT) itu.

Chelsea FC memulakan jelajah pra musim 2013/14 di Asia dengan mengalahkan pasukan Singha All-Star XI dari Thailand, 1-0 di Stadium Rajamangala di Bangkok, Rabu lepas.

Mereka akan berada di Malaysia sehingga Selasa ini sebelum berkunjung ke Indonesia untuk mengakhiri jelajah mereka dengan menentang pasukan pilihan Indonesia di Stadium Bung Karno di Jakarta, Khamis ini.

- Bernama