4 rakan lemas ketika cari lala dikebumi malam tadi
Empat rakan ditemui mati lemas ketika mencari lala di Sungai Melaka di Taman Seri Krubong, Krubong di Melaka semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa yang terdiri daripada adik beradik iaitu Hanis Balkis Fadzli, 7, dan Mohamad Nazmi Fadzli, 9, serta dua rakan mereka iaitu Athafiz Amin, 10, dan Rodziatul Nadia Rosnan, 12, dipercayai tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai.
Timbalan Penguasa Bomba dan Penyelamat Melaka Kamarulzaman Mohd Din berkata tujuh anggota bomba dari Balai Bomba Ayer Keroh dan 11 anggota unit penyelam dari Balai Bomba Kubu dikejarkan di tempat kejadian.
"Bomba menerima panggilan pada pukul 4.58 petang dan berjaya menemui mayat mangsa keempat pada pukul 6.04 petang," katanya kepada pemberita di Melaka semalam.
Kesemua mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka dan dikebumikan malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cheng di Melaka.
- Bernama

