Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Profesor Datuk Dr Morshidi Sirat agar mata pelajaran Tamadun Islam dan Tamadun Asia (Titas) tidak diajar kepada pelajar bukan Islam tidak sepatutnya timbul.

Katanya, subjek berkenaan yang turut mengandungi sukatan mengenai tamadun Cina, India juga diwajibkan ke atas pelajar muslim.

"KPM ingin menjelaskan di bahawa kandungan kursus Titas bukan hanya mengandungi tamadun Islam tetapi juga tamadun Melayu, Cina, India dan masa depan tamadun.

"Kandungan silibus bukan mengenai aspek pengajian Islam tetapi aspek ketamadunan dan sejarah serta sosiologi," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut membandingkan ketetapan baru untuk mewajibkan Titas ke atas penuntut IPTS dengan amalan dalam sistem pendidikan tinggi Amerika Syarikat.

“Sistem pendidikan luar negara seperti Amerika Syarikat juga menawarkan mata pelajaran wajib di IPT negara masing-masing untuk diambil oleh pelajar tempatan dan antarabangsa.

 

“Oleh itu, pilihan Titas sebagai mata pelajaran wajib tidak boleh dianggap sebagai satu isu tetapi pilihan yang tepat untuk memupuk semangat kenegaraan, patriotisme dan perpaduan serta memacu pembangunan negara,” katanya.

Jelasnya, Titas yang mula diperkenal di universiti awam itu bertujuan memberikan kefahaman kepada siswa tentang "tamadun yang wujud di Malaysia yang menyumbang kepada pembentukan jati diri dan sahsiah serta sistem nilai yang diamalkan di Malaysia pada masa kini".

Malah, ada di kalangan pelajar bukan Islam yang memperolehi keputusan cemerlang dalam subjek tersebut, katanya lagi.