Suaram kritik polis tak lapor kematian mengejut
NGO hak asasi Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengkritik kenyataan Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan di mahkamah bahawa tiada kematian mengejut dilaporkan berhubung mangsa kematian dalam tahanan R Gunasegaran.
Menyifatkan perkara itu sebagai "tidak oleh diterima", Suaram menyoal:
"Sehingga kini, tiada laporan dibuat oleh polis berhubung kematian Gunasegaran. Bagaimana perkara ini boleh terjadi?"
Semalam, Zakarian memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa laporan kematian bukan tanggungjawab polis, sebaliknya pegawai perubatan.
Beliau mendedahkan perkara itu semasa pendengaran kes saman sivil balu Gunasegaran, Ganga Gowri terhadap kerajaan dan polis.
Zakaria juga mengesahkan di mahkamah bahawa polis menyiasat Gunasegaran dan tiga lagi suspek sehinggga melepasi tengah malam.
Ketika peguam plaintif M Visvanathan berkata, undang-undang lokap menetapkan suspek tidak boleh disoal siasat selepas jam 6.30 petang, Zakaria mempertahankan tindakan polis dengan menjelaskan, ia bagi mempercepat siasatan.
Zakaria juga berkata, suspek tidak berada dalam lokap, tetapi sel transit di balai polis sentul.
Gunasegaran, ketika itu 32, meninggal dunia antara 6.45 hingga 7 petang di balai polis Sentul pada 16 Julai 2009, kebetulan pada hari yang sama dengan hari mayat Teoh Beng Hock ditemui dekat bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam.
Polis mendakwa kematian itu disebabkan penggunaan dadah secara berlebihan. Bagaimanapun keluarganya mendakwa ia ekoran kekejaman polis.

