Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyokong cadangan mufti Perak Datukmengecualikan orang Islam daripada undang-undang yang memberi hak kepada semua ibu bapa untuk membesarkan anak mengikut agama anutan masing-masing.

Ketua aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata cadangan itu juga perlu dikaji bagi membolehkan perkara itu dilaksanakan dan tidak sekadar "menghiasi dada akhbar".

Beliau berpendapat, cadangan itu bertujuan melindungi hak-hak ibu bapa Muslim yang mahu anak mereka kekal sebagai Muslim.

"Bila kita mencadangkan kita juga harus mula inisiatif untuk kaji dengan mendalam. Kalau baik kita ikut, kalau tidak baik pun kita seharusnya bergerak ke arah itu (lindung hak ibu bapa Muslim).

"Kalau untuk bercakap bagi mengisi dada akhbar sahaja tak cukup, kena ada kesungguhan," kata ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan dalam satu sidang media hari ini.

Harussani pada 26 Julai lalu dilaporkan mencadangkan agar Perkara 3, 5 dan 11 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan perkara itu dipinda.

Beliau memberi alasan, agama lain hanya boleh diamalkan tetapi undang-undang Islam terpakai di negara ini kerana ia menjadi agama rasmi Persekutuan.

Beliau antara lainnya berkata, ia bagi membolehkan agar Islam tidak hanya menjadi amalan tetapi turut menjadi undang-undang.

Harussani juga berkata, sekiranya pindaan terhadap peruntukan tersebut dibuat, isu perasaan tidak puas hati dalam kalangan orang bukan Islam tidak seharusnya timbul.

Kenyataan itu timbul ekoran mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh sehari sebelum itu yang membatalkan pengislaman tiga anak guru tadika, M Indira Gandhi (kiri), 38, yang didaftarkan oleh suaminya, Muhammad Ridzuan Abdullah, 44, seorang mualaf berketurunan India, empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Lee Swee Seng dalam penghakimannya selama 1 jam 40 minit menetapkan Perakuan Memeluk Islam ke atas Tevi Darsiny, 16, Karan Dinish, 15, dan Prasana Diksa, 5, terbatal dan tidak sah.