KJ: Tak semestinya jurulatih luar pilihan terbaik
Keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengekalkan khidmat Datuk K.Rajagobal sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya adalah keputusan yang adil, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
"Saya difahamkan FAM akan memberi peluang kepada Rajagobal untuk memenuhi kontrak sehingga hujung tahun ini. Selepas itu, sekiranya beliau tidak menepati Indeks Prestasi Utama (KPI) beliau, maka kontrak itu tidak akan dilanjutkan.
"Kontrak yang dikeluarkan adalah berdasarkan kepada KPI. Jika sekiranya pemegang kontrak itu tidak dapat memenuhi KPInya, tidak wajarlah jika hendak dilanjutkan kontrak tersebut," kata Khairy mengulas keputusan FAM terhadap Rajagobal.
Keputusan FAM itu diumumkan oleh Timbalan Presidennya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selepas mempengerusikan Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM semalam.
Khairy ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa bersama ahli Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) di Kuala Lumpur.
Mengenai sama ada FAM perlu melantik ketua jurulatih dari luar negara sekiranya kontrak Rajagobal ditamatkan, Khairy berkata ia bukan persoalan utama.
"Tidak semestinya jurulatih luar negara menjadi pilihan terbaik, sebaliknya saya mahu FAM memilih seorang jurulatih yang terbaik...tidak kiralah sama ada jurulatih itu dari luar negara atau tempatan.
"FAM perlu dapatkan yang terbaik untuk negara kita...yang memahami budaya kita serta mempunyai strategi terbaik untuk meningkatkan kedudukan kita dalam ranking dunia," katanya.
Kemampuan Rajagobal sebagai jurulatih dipertikaikan banyak pihak apabila skuad kebangsaan diaibkan dengan tiga kekalahan pada aksi persahabatan dengan kelab liga utama Jepun.
Harimau Malaya kalah 2-0 kepada Shimizu S Pluse, Khamis lepas, sebelum kalah 5-0 kepada Shonan Bellmare selang dua hari kemudian dan semalam tewas pula kepada kelab divisyen dua, Tokyo Verday juga 5-0.
- Bernama

