Polis Mesir akan menghalang akses ke kem bantahan Ikhwanul Muslimin di Kaherah, lapor stesen televisyen milik negara itu semalam.

Bagaimanapun kementerian dalam negeri menentang idea menyuraikan bantahan dengan kekerasan, lapor Reuters.

“Idea menyerbu kem dengan kekerasan ditentang oleh kementerian dalam negeri, tetapi halangan akan dilakukan di semua jalan menuju ke Rabaa,” lapor koresponden hal ehwal keselamatan televisyen milik negara di luar Kementerian Dalam Negeri.

Beliau merujuk kepada Rabaa al-Adawiya, lokasi bantahan terbesar oleh Ikhwan di Kaherah. Penyokong Ikhwan berkumpul di dua lokasi.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Ikhwan juga mengkritik Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) John Kerry kerana berkata, tentera Mesir “mengembalikan demokrasi” dengan menggulingkan presiden kumpulan Islamis Mohamed Mursi.

“Kami sama sekali menolak kenyataan ini dan kami sangat kecewa dengan mereka,” kata Mohamed Ali Bishr, seorang pemimpin kanan Ikhwan dan menteri dalam pentadbiran Mursi sebelum ini.

“Amerika Syarikat bercakap tentang demokrasi dan hak asasi dan perkara seperti itu. Saya harap mereka fikir semula pendirian mereka dan betulkannya,” katanya kepada Reuters.

Mursi, pemimpin Ikhwan yang menjadi presiden Mesir pertama dipilih secara bebas pada Jun 2012, digulingkan pada 3 Julai dan digantikan dengan pentadbiran yang disokong tentera.

AS hingga kini enggan menyifatkan kejadian itu sebagai rampasan kuasa.

Pada Khamis, dalam ucapan paling kuat menyokong kepimpinan baru, Kerry berkata, tentera Mesir “mengembalikan demokrasi” dengan menggulingkan Mursi.

“Pihak tentera diminta untuk campur tangan oleh jutaan orang, yang mereka semua bimbang memasuki kancah kekacauan, kepada keganasan,” katanya kepada televisyen Pakistan GEO TV.

“Dan tentera tidak mengambil alih, berdasarkan penilaian terbaik kita setakat ini.”

Bishr menyifatkan pendirian AS itu mengabaikan hasrat rakyat Mesir.

Burns bertemu Jeneral al-Sisi?

Timbalan Kerry, William Burns juga dijadual melawat Mesir pada Jumaat, menurut jurucakap Kementerian Luar Negara Mesir.

Ia ekoran kebimbangan terhadap kemungkinan tindakan keras pada penyokong Mursi.

Jurucakap kementerian Badr Abdelatty, berkata, Burns akan tiba pada petang Jumaat dan bertemu dengan menteri luar negara kerajaan sementara Nabil Fahmy pada Sabtu.

Beliau tidak pasti sama ada Burns akan turut mengadakan perbincangan dengan Jeneral Abdel Fattah al-Sisi, individu yang bertanggungjawab menyingkirkan Mursi daripada tampuk kekuasaan.