Wanita, kanak-kanak maut kemalangan di Sg Petani
Tiga wanita dan seorang kanak-kanak perempuan maut manakala seorang lelaki cedera apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan lori di Jalan Sidam Kiri-Kuala Ketil, dekat Sungai Petani semalam.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Tan Sou Kim, 50, Tan Siew Chin @ Doad Serni, 45, Ong Siew Yan (umur tidak diperoleh) dan kanak-kanak berusia 11 tahun, Tan Jit May.
Kemalangan pada pukul 5.45 petang itu turut menyebabkan Hou Guan Ting, 18, dari Jalan Pergam, Sungai Petani, cedera dan dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani.
Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Arumugam, 40-an, berkata ketika tiba di lokasi kejadian, dia melihat seorang lelaki merintih kesakitan dan meminta tolong.
"Saya dan beberapa individu lain membantu mengeluarkan lelaki itu dari kenderaan," katanya.
Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Kuala Muda DSP Ahmad Kamil Ahmad mengesahkan kejadian itu.
Mangsa yang maut dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani untuk bedah siasat.
Difahamkan lima mangsa yang menaiki kereta itu dalam perjalanan dari Sidam ke arah bandar ini.
- Bernama

