Penduduk luar bandar perlu sertai Perkeso
Penduduk luar bandar yang bekerja di sektor swasta perlu menyertai Pertubuhan Keselamatan Sosial atau Perkeso bagi menikmati pelbagai skim perlindungan yang disediakan kepada ahli.
Timbalan Menteri Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi berkata Perkeso turut menyediakan perkhidmatan serta liputan lebih baik berbanding sesetengah syarikat insurans.
Beliau berkata demikian sebelum menyampaikan manfaat pengebumian sebanyak RM1,500 kepada Lily anak Duren, 39, balu Tujoh anak Lah, yang lemas apabila bot ekspres Kawan Mas karam selepas terlanggar sebatang balak hanyut di Bungan Rapid berhampiran Belaga pada 28 Mei lepas.
Bot itu, yang dibenar membawa 75 penumpang, bagaimanapun penuh sesak dengan 219 orang, kebanyakannya pekerja kem pembalakan yang ingin pulang untuk meraikan Pesta Gawai Dayak pada 1 Jun.
Insiden itu turut meragut nyawa dua yang lain.
Alexander turut menyampaikan cek RM883.50, iaitu bayaran bulanan yang merupakan Faedah Orang Tanggungan kepada Lily bagi membantu wanita itu menyara enam anaknya yang masih bersekolah, dan bantuan itu diteruskan sehingga anak bongsunya, Selfa Tujoh, kini 5 tahun, mencapai usia 21 tahun.
Sementara itu, beliau menasihatkan penduduk luar bandar agar sentiasa menyokong kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana Najib seorang pemimpin yang prihatin dan mengotakan setiap janji kerajaan.
Mengulas cadangan pembinaan jalan Belaga/Merit/Kapit bagi kawasan terbabit, beliau berkata perkara itu akan menjadi kenyataan malah sesetengah pemilik tanah yang terjejas sudahpun menerima wang pampasan.
Anggota Parlimen Hulu Rajang Wilson Ugak Kumbong, yang turut hadir pada majlis itu, pula berkata tragedi 'Kawan Mas' mendedahkan kelemahan sebenar yang dihadapi masyarakat luar bandar di negeri ini.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan kerajaan akan mencari jalan serta kaedah bagi memperbaiki situasi itu.
- Bernama

