Lelaki cedera parah kemalangan di Sg Petani meninggal
Lelaki yang cedera parah dalam kemalangan ngeri mengorbankan tiga wanita dan seorang kanak-kanak perempuan di Jalan Sidam Kiri petang semalam, meninggal dunia pada 9.30 pagi ini.
Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Kuala Muda DSP Ahmad Kamil Ahmad berkata Hou Guan Ting, 18, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani.
"Mangsa yang mengalami kecederaan dalaman dan kepala, meninggal pukul 9.30 pagi tadi. Siasatan lanjut berhubung punca kemalangan masih dijalankan," katanya di Sungai Petani hari ini.
Mayat Hou dituntut ayah angkatnya, Lawrence Teh, 48, pada 1.20 tengah hari ini.
Dalam kejadian 5.45 petang semalam, tiga wanita iaitu Ong Siew Ean, 62, Tan Sou Kim, 50, dan Tan Siew Chin @ Doad Serni, 45, serta Tan Jit May, 11, maut di tempat kejadian selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori tanah.
Kesemua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani, dari sebuah kuil di Sidam.
-Bernama

