Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pembinaan MRT sebelah malam akan dipertingkat
Diterbitkan:  Aug 6, 2013 11:35 AM
Dikemaskini: 7:27 AM

Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd, yang mengendali projek MRT Sungai Buloh-Kajang akan mempertingkat kerja pada sebelah malam dalam fasa pembinaan berikutnya di laluan sepanjang 51 kilometer.

Langkah itu perlu dilakukan bagi meminimum kesan terhadap aliran trafik pada sebelah siang dan memastikan keselamatan orang ramai berikutan kehadiran mesin pembinaan yang besar dan memerlukan lebih ruang serta mengambil lebih daripada satu lorong.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam syarikat itu, Amir Mahmood Razak berkata semua kerja pada sebelah malam dilakukan dengan kelulusan pihak berkuasa dan perlu dilakukan bagi menyiapkan kerja tertentu dalam tempoh yang ditetapkan.

"Kami tidak mempunyai pilihan dan terpaksa menjalankan aktiviti pembinaan pada sebelah malam. Dengan menetapkan kerja tertentu pada sebelah malam, kesulitan terhadap pengguna jalan raya akan dapat diminimum tanpa menjejas keselamatan dan kualiti kerja," katanya pada sidang akhbar hari ini.

Kerja pada sebelah malam akan bermula dari 10 malam hingga 6 pagi setiap hari, dan dijangka berakhir pada pertengahan 2017.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang mungkin terjejas agar bersabar dan memahami bahawa kerja berkenaan perlu dijalankan pada masa ditetapkan kerana tiada pilihan lain.

Setakat Jun lepas, pembinaan Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang sudah siap 22 peratus.

- Bernama

ADS