Tamadun dapat permit, tabloid gagal dicetak
Sebuah majalah bulanan terbitan sebuah syarikat swasta, Tamadun , hari ini berjaya mendapatkan nombor permit baru majalah itu apabila Ketua Pengarangnya, Muttaqin Amaluddin menemui Kementerian Dalam Negeri pagi tadi.
Bagaimanapun, sebuah tabloid mingguan yang terkenal tidak berjaya dicetak dan diedarkan hari ini kerana berdepan dengan masalah permit dengan KDN. Namun, akhbar mingguan yang sering melaporkan berita tentang parti pembangkang itu tidak mahu "membesar-besarkan isu ini."
"Kami yakin permit itu akan diluluskan," kata satu sumber dari syarikat itu. Tabloid itu - yang menjadi saingan terdekat sebuah lagi akhbar tabloid politik, Harakah - sering diedarkan pada hari Jumaat.
Seorang pegawai di kementerian memberitahu malaysiakini bahawa akhbar mingguan terkenal itu masih tidak memperolehi permit dan beliau tidak mahu isu ini digembar-gemburkan.
"Saya tidak mahu mengulas lanjut, nanti ramai yang cuba membangkitkan isu ini," kata sumber itu lagi.
Menurut pemilik permit Tamadun , pertemuan majalah itu dengan Ketua Penolong Setiausaha Unit Kawalan Penerbitan KDN, Tengku Mahmood Tengku Ismail, bertujuan membincangkan masalah permit dan juga untuk mendapatkan penjelasan berhubung isu-isu tertentu yang dikatakan "kontroversi".
" Tamadun sudah mendapat nombor permitnya dan kita boleh meneruskan isu Mei dan Jun akan datang," jelas Muttaqin dalam nada lega dan tenang.
Semalam malaysiakini melaporkan majalah itu bercadang menangguhkan terbitan bulan Mei sekiranya permit tidak diluluskan.
"Semuanya (syarat) seperti biasa," kata Muttaqin, apabila ditanya jika kementerian mengenakan apa-apa syarat tambahan.
Tamadun yang diterbitkan setiap awal bulan merupakan majalah yang menyiarkan rencana-rencana ilmiah, ekonomi, agama, ketamadunan dan berita-berita semasa dari dalam dan luar negera.
Bagaimanapun, majalah itu pernah diberikan amaran pada Oktober lalu kerana menyiarkan rencana-rencana yang disifatkan "menghasut orang ramai" dan "menyinggung pihak-pihak tertentu."


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.