Musa Aman dapat sokongan tanding naib presiden
Ketua Umno bahagian Papar Datuk Abdul Rahim Ismail menyokong jika Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Musa Aman bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti kali ini.
Rahim berkata, Musa sememangnya layak untuk bertanding jawatan itu kerana Umno serta BN terutamanya di Sabah semakin kuat dan kukuh di bawah kepimpinan beliau yang juga Ketua Menteri Sabah.
Katanya, kelayakan Musa sebagai pemimpin UMNO Sabah tidak perlu dipertikai kerana telah terbukti kepimpinan beliau telah membawa kemenangan kepada parti itu dan BN khususnya dalam pilihan raya umum (PRU13) lepas.
Rahim bercakap kepada pemberita di Rumah Terbuka Aidilfitri, di kediamannya, di Papar, semalam.
Turut hadir anggota Parlimen Papar Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar; dan mantan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh.
Dalam pada itu, Rahim yang juga ADUN Pantai Manis berkata beliau akan terus mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian Papar pada pemilihan kali ini.
- Bernama

