Jutawan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan telah melantik Maybank Investment Bank dan UBS AG untuk memberi nasihat mengenai tawaran awam awal (IPO) 7-Eleven Sdn Bhd, demikian menurut dua sumber yang mempunyai pengetahuan langsung mengenai perjanjian itu.

Ia dijangka mengumpul kira-kira RM700 juta (AS$215 juta) seawal tahun ini, ketika pasaran modal ekuiti negara ini kembali meningkat selepas reda di tengah-tengah ketidaktentuan politik menjelang pilihan raya umum Mei lalu.

Syarikat penerbangan jarak jauh, AirAsia X Bhd, telah mengumpul AS$310 juta dalam IPO pada bulan Julai. UMW Oil & Gas Corp Bhd pula mensasarkan untuk memulakan IPO sebanyak RM2.4 bilion seawal bulan September.

"Semuanya masih di peringkat awal," kata salah satu sumber semalam. "Dan penyenaraian itu boleh berlaku tahun depan."

7-Eleven, sebahagian daripada Berjaya Retail, adalah rangkaian kedai serbaguna terbesar di Malaysia dengan sejumlah 1,300 cawangan, demikian menurut lamanweb rasminya.

Ia mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM36.7 juta daripada perolehan sebanyak RM1.3 bilion pada tahun 2010. Ini berdasarkan kepada satu kenyataan sebelumnya kepada bursa saham tempatan.

Tan, orang kesepuluh terkaya di Malaysia menurut Forbes, menjadikan Berjaya Retail sebagai syarikat persendirian pada 2011 -  sembilan bulan selepas syarikat itu disenaraikan pada 16 Ogos 2010 - ekoran prestasi merudum saham. Baca berita penuh

- Reuters