Dr M: Perlu penjara besar jika mahu kurung Syiah
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil pendirian berbeza ke atas golongan Syiah, walau kempen untuk memerangi fahaman tersebut berterusan.
Ditanya sama ada tindakan terhadap golongan itu perlu diteruskan, Mahathir berkata beliau berpendapat pengikut berkenaan boleh ditangani dengan cara lain.
Dengan sinis, Mahathir berkata ada sesetengah pihak yang melihat cara yang lebih mudah dengan mengkategorikan golongan yang mengikut interpretasi Islam yang berbeza sebagai kafir.
“Kita panggil mereka kafir supaya kita boleh perangi mereka," katanya.
Mahathir berkata ada juga yang lebih berminat untuk mengurung pengikut Syiah itu di dalam penjara.
“Tetapi mereka ada 250,000 orang, penjara itu mestilah sangat besar," katanya.
Kenyataan Mahathir itu nampaknya berbeza dengan pandangan anaknya, Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir yang berkata kerajaan negeri akan mewartakan fatwa anti-Syiah.

