Yew kecewa MCA lepaskan Soi Lek
Ketua MCA Wangsa Maju, Yew Teong Look kecewa dengan keputusan parti itu menolak permohonannya supaya Presiden parti itu, Datuk Seri Chua Soi Lek dikenakan tindakan disiplin kerana didakwa melanggar keputusan parti untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam kerajaan.
Menurutnya, Majlis presiden telah gagal memberi penjelasan yang meyakinkan berhubung keputusan mereka itu.
Yew mendakwa permohonannya itu ditolak tanpa menangani isu teras, iaitu mengulas lanjut mengenai skop jawatan dalam kerajaan.
"Beberapa ahli telah meletakkan jawatan (dari jawatan kerajaan) dan ada yang tidak berbuat demikian. Mereka menunggu (pihak parti mengeluarkan skop rujukan itu)," katanya dalam satu temubual telefon, sambil menambah bahawa itulah juga yang bahagian mahu.
Bahagian Yew (kanan) baru-baru ini meminta parti merujuk Chua
untuk tindakan disiplin kerana presiden MCA itu masih memegang jawatan pengerusi Pelabuhan Pulau Pinang walaupun parti itu memutuskan untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam kerajaan selepas kalah teruk dalam pilihan raya umum lepas.
Bagaimanapun, permintaan itu telah ditolak semalam kerana Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, perlembagaan parti itu tidak menyebut mengenai tindakan tatatertib terhadap presiden dan lembaga disiplin tidak mempunyai kuasa untuk bertindak.
"Majlis presiden perlu membuat keputusan yang meyakinkan mengenai perkara ini," kata Yew, yang berikrar bahawa mereka akan mengambil tindakan lanjut berhubung isu tersebut.
Yew berpandangan parti itu perlu meminda perlembagaannya untuk membolehkan tindakan disiplin diambil terhadap presiden parti, kerana keputusan yang dibuat oleh parti itu telah memberi gambaran seolah-olah perlembagaan tidak wujud.

