UiTM sasar ambil 250,000 pelajar menjelang 2016
Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyasarkan pengambilan 250,000 pelajar untuk semua peringkat pengajian menjelang 2016.
Naib Canselornya Tan Sri Dr Sahol Abdul Hamid Abu Bakar berkata pengambilan itu akan ditambah secara berperingkat bermula tahun depan.
"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan saya supaya mencari peluang yang lebih luas kepada kaum bumiputera untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri peringkat UiTM Kelantan di Machang semalam.
Katanya bagi menampung jumlah pelajar itu, pihaknya mempunyai beberapa rancangan termasuk pengajian dalam talian, menambah bangunan di kampus sedia serta kampus baru di beberapa negeri.
Antara kampus baru yang sedang dibina ialah di Rembau, Negeri Sembilan; Raub, Pahang dan Baling, Kedah, yang dijangka siap tahun depan, katanya.
Terdahulu ketika berucap, sahol mengingatkan pelajar UiTM agar menghargai keamanan dan kemakmuran negara ini.
Katanya kejadian berdarah yang melanda beberapa negara Islam seperti di Mesir harus dijadikan pengajaran dan dijauhi oleh pelajar UiTM.
ADUN Paloh Datuk Nazula Mat Diah adalah antara lebih 1,000 tetamu yang meliputi pelajar, tenaga pengajar dan staf UiTM di majlis berkenaan.
- Bernama

