Polis Pulau Pinang mempunyai maklumat dan mengenal pasti identiti mereka yang terlibat dengan 11 kejadian tembakan yang berlaku sejak awal tahun ini di negeri ini.

Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata pihaknya akan mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan semua kes berkenaan secepat  mungkin.

"Setakat ini kita telah selesaikan sembilan kes selepas berjaya menumpaskan geng kongsi gelap yang ditembak mati semalam dan ada 11 lagi kes (tembak) yang masih dalam siasatan.

"Saya tidak boleh dedahkan maklumat itu, tetapi kami akan bertindak secepat mungkin berdasarkan maklumat serta identiti mereka yang telah dikenal pasti dalam 11 kes melibatkan senjata api di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan bersama Petugas Op Selamat 3/2013 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan  terkini mengenai kes tembak di Pulau Pinang selepas kejayaan polis menumpaskan satu geng kongsi gelap dengan menembak mati lima lelaki awal pagi semalam.

Anggota kumpulan kongsi gelap itu dipercayai menjadi pembunuh upahan yang dikehendaki polis kerana terbabit dalam  kes bunuh dan cubaan bunuh di Pulau Pinang, Kedah dan Negeri Sembilan.

Abdul Rahim berkata mereka yang dikenal pasti itu berada di beberapa  buah negeri dan bukan hanya di Pulau Pinang.

"Mereka ini bergerak (dari satu kawasan ke kawasan lain) dan mengikut  sasaran (mangsa), tidak semestinya berada di Pulau Pinang sahaja tetapi negeri lain juga.

"Ikut maklumat yang ada pada saya, kita akan bertindak segera. Saya minta penduduk di negeri ini beri kepercayaan kepada polis dan saya beri jaminan kami akan pastikan Pulau Pinang aman, damai dan tenteram.

"Saya akan ambil tindakan mengikut cara dan undang-undang," katanya.

Beliau berkata tindakan tegas juga akan dikenakan kepada mereka yang terlibat dengan jenayah berat di Pulau Pinang.

- Bernama