M'sia hantar surat pada OIC selesai krisis Mesir - PM
Malaysia menghantar surat kepada semua negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) meminta supaya diadakan persidangan khas untuk mencari penyelesaian secara aman bagi krisis di Mesir.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman sudahpun menghantar surat berkenaan selaras dengan ketetapan yang diambil kerajaan.
Menurutnya Malaysia sedang berusaha memainkan peranan dalam usaha mencari keamanan di Mesir, dan katanya beliau menjangka akan menerima panggilan telefon daripada pemimpin-pemimpin Negara Arab mengenai perkara itu dalam sehari dua lagi.
Beliau berkata mesyuarat Kabinet hari ini pula melahirkan rasa kesal dengan penggunaan kekerasan yang keterlaluan di Mesir sehingga mengorbankan banyak nyawa, yang jika dibiarkan berterusan tanpa usaha mencari perdamaian, akan membawa kepada perang saudara yang parah.
"Kabinet menyarankan supaya diadakan dialog antara semua pihak di Mesir supaya semua proses perdamaian nasional dapat berlaku di Mesir. Pertama untuk tidak menggunakan kekerasan secara berterusan dan sebaliknya mencari jalan di mana hak asasi manusia dihormati," katanya.
Beliau memberitahu demikian dalam sidang akhbar selepas sejurus menghadiri majlis sambutan Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya.
Majlis turut dihadiri isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor,
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
- Bernama

