Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau dimaklumkan 35 pelajar akan dibawa keluar dari Mesir menggunakan sistem penerbangan komersil Etihad Airways pada pukul 5 petang ini waktu Kaherah.

Beliau berkata esok pula lebih 200 tiket penerbangan sudah ditempah untuk membawa pulang pelajar, menggunakan perkhidmatan penerbangan Emirates, Etihad Airways dan SIA.

    

"Saya telah minta supaya diteruskan tempahannya (tiket) sebanyak mana mungkin yang dapat kita perolehi setiap hari mulai hari ini supaya dalam jangka waktu tidak lama lagi, kesemua pelajar kita yang ingin pulang akan dapat berbuat demikian," katanya.

Perdana menteri berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sejurus menghadiri majlis sambutan Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya.

    

Najib berkata setakat ini beliau masih belum dapat menentukan tempoh masa yang akan diambil untuk membawa semua pelajar itu pulang, namun menurutnya kerajaan akan berusaha mendapatkan tiket-tiket penerbangan sebanyak mungkin setiap hari untuk membawa pelajar berkenaan pulang dengan segera.

    

Sementara itu menjawab satu soalan, Perdana Menteri berkata amat penting rakyat secara keseluruhan memahami sensitiviti setiap komuniti dalam negara.

    

"Ini bukan membabitkan persoalan sebagai bersifat ortodoks. Terdapat sensitiviti dalam kalangan rakyat Malaysia, yang bukan eksklusif kepada orang Islam sahaja tetapi juga bukan Islam, mereka juga mempunyai tahap sensitiviti mereka. Jadi adalah penting untuk kita memahami sensitiviti setiap komuniti," katanya.

    

Najib berkata demikian semasa ditanya adakah beliau fikir Malaysia semakin menjadi sebuah negara Islam ortodoks dengan memberikan contoh beberapa insiden sebelum ini seperti pelatih anjing dan pemilik resort di Johor yang dikatakan menghina Islam.

    

Pelatih anjing itu ditahan berhubung klip video kontroversi memaparkan seorang individu menyambut Hari Raya bersama tiga ekor anjing manakala taraf penduduk tetap (PR) pemilik resort di Kampung Sedili Besar di Kota Tinggi, Johor dibatalkan serta merta kerana tidak menghormati sensitiviti orang Islam di Malaysia.

Ikut pelan evakuasi

Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menasihatkan pelajar tajaannya yang masih berada di Mesir agar mematuhi keputusan diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk pulang ke tanah air secara sukarela demi keselamatan mereka.

   

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata setakat ini, terdapat 403 pelajar tajaan JPA di negara sedang bergolak itu kerana menduduki peperiksaan.

   

"Sekiranya keadaan di Mesir masih tidak pulih dan tidak selamat bagi pelajar Malaysia meneruskan pengajian di sana, JPA akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi membantu pelajar terlibat mendapatkan tempat pengajian di negara lain atau di institusi pengajian tinggi swasta dalam negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

   

Beliau berkata jabatan itu, melalui Pejabat Penasihat Pendidikan dan Latihan JPA, Kedutaan Besar Malaysia dan Education Malaysia Egypt di Kaherah, akan memastikan proses evakuasi pelajar dapat dilaksana dengan lancar.

   

Mohamad Zabidi berkata pelajar yang masih bercuti di Malaysia juga dinasihat menangguhkan kepulangan ke Mesir seperti saranan kerajaan baru-baru ini.

Beliau berkata ibu bapa dan pelajar terbabit juga boleh menghubungi JPA di Putrajaya melalui talian 03-8885 3939/3491/3511 bagi mengetahui perkembangan terkini di Mesir.

   

Selain itu, bilik operasi Kementerian Pendidikan dibuka sejak 16 Ogos lepas bagi memudahkan ibu bapa dan pelajar memperoleh maklumat terkini.

Mereka boleh menghubungi talian 03-8870 6611 dan 03-8870 6627 atau e-mel ke egyptcrisis@mohe.gov.my atau laman sosial facebook https://www.facebook.com/pages/StudentWorld/207845832591425.

    

- Bernama