Wanita Melaka, NS sokong kepimpinan Shahrizat
Wanita Umno Melaka dan Negeri Sembilan menyatakan sokongan tidak berbelah-bagi terhadap kepimpinan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk terus mempertahan jawatan ketua pergerakan itu dalam pemilihan Umno Oktober depan.
Ketua Wanita Umno Melaka Datuk Rabiyah Ali berkata ketetapan itu diambil berdasarkan prestasi kerja dan perkhidmatan Shahrizat dalam tempoh lima tahun memimpin sayap berkenaan.
"Beliau merupakan seorang pemimpin wanita yang telah melaksanakan kerja dengan cemerlang untuk wanita di seluruh negara dan telah menjenamakan semula wanita Umno melalui pelbagai langkah, termasuk memperkenal Skuad Sayang dan Salam Sayang pada pilihan raya umum lepas.
"Wanita Umno Melaka telah berunding dan sepakat setuju memberi sokongan dan mandat kepada beliau untuk memegang sekali lagi jawatan Ketua Pergerakan Wanita Malaysia," katanya dalam sidang akhbar di Melaka.
Beliau berkata meskipun Shahrizat tidak memegang sebarang jawatan dalam Kabinet namun ia bukan faktor utama untuk tidak memberi sokongan.
Rabiyah berkata ciri keterbukaan, ketinggian ilmu, pendekatan berkesan, sifat keibuan dan kematangan dalam kepimpinan yang diamal Shahrizat merupakan faktor utama beliau masih diperlukan.
Ditanya berhubung isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) yang dikaitkan dengan Shahrizat, beliau berkata perkara itu langsung tidak menggoyahkan pendirian anggota Wanita Umno di peringkat akar umbi dan tertinggi negeri itu untuk memberi sokongan.
"Beliau tidak ada kena-mengena dengan isu itu dan tidak didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, jadi tiada sebab untuk kita Wanita tidak menyatakan sokongan terhadap beliau," katanya.
Dalam perkembangan lain, Rabiyah yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Kota Melaka menawarkan diri bertanding jawatan Exco Pergerakan Wanita Umno Malaysia pada pemilihan parti akan datang.
Beliau sebelum ini dilantik Exco Pergerakan Wanita Umno.
Antara pemimpin Wanita Umno Melaka yang menawarkan diri bertanding jawatan sama ialah Ketua Wanita Umno Bahagian Masjid Tanah Datuk Latipah Omar selain Exco Pergerakan Wanita Malaysia Datuk Hasnah Salam yang akan mempertahan jawatan berkenaan.
Di Seremban, Ketua Wanita Umno Negeri Sembilan Datuk Norhayati Omar berkata rasional sokongan itu adalah berdasarkan beberapa aspek, termasuk Shahrizat adalah seorang pemimpin dalam dua versi.
"Satu, versi beliau sebagai menteri dan satu lagi beliau bukan sebagai menteri dalam penggal dua jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno Malaysia. Dalam dua versi yang berbeza ini, beliau menjalankan tugas secara konsisten sehingga kita menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang lalu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Wanita Umno negeri hari ini.
Beliau berkata berdasarkan perkhidmatan, Shahrizat dilihat sebagai satu-satunya Ketua Pergerakan Wanita Umno Malaysia yang membuat penjenamaan semula.
"Kita lihat dalam PRU ke-12, BN didapati kalah di beberapa negeri di tangan pembangkang, dan Umno dilihat begitu lemah, tetapi apabila Shahrizat mengambil alih tampuk kepimpinan Wanita Umno, dia telah melakukan penjenamaan semula Umno dengan mewujudkan skuad Sayang.
"Jadi, skuad Sayang inilah yang telah menghidupkan semula Umno dalam kalangan masyarakat. Peranan skuad Sayang turun padang dan membantu orang susah dan memerlukan bantuan seperti banjir, rumah terbakar, melawat orang sakit dan sebagainya telah memberi kesan positif kepada Umno.
"Kemudian kita ada bancian sikap Jalinan Rakyat. Bancian sikap ini bukan satu perkara yang baharu kerana inilah kerja utama Wanita Umno, tetapi ada pengubahsuaian yang dibuat Shahrizat secara yang khusus yang mana seorang petugas menjaga 30 orang. Bermakna kita mewujudkan ramai petugas dan boleh menjaga keseluruhan pengundi Melayu.
"Kalau di negeri ini, kita telah wujudkan 7,500 petugas Jalinan Rakyat yang membuat gerak kerja bancian sikap. Jadi, inilah nadi yang bergerak untuk menjaga bancian sikap dalam kalangan pengundi Melayu. Dengan adanya pengkhususan gerak kerja macam ini, ia jauh lebih baik dan hasilnya begitu berkesan," katanya.
Norhayati berkata program lain yang memberi impak positif ialah Salam Sayang yang menyaksikan pengwujudan kelompok kecil untuk memberi penerangan berhubung isu semasa seperti kenaikan harga barang.
"Saya nampak tiga perkara yang dibuat oleh Shahrizat ini memberi manfaat besar dan tidak dinafikan menjadi sumbangan Wanita Umno dalam kemenangan BN dalam PRU13.
"Maka itulah, kita mahu Shahrizat meneruskan khidmat baktinya memandangkan cabaran besar yang dihadapi pada PRU14 nanti. Beri beliau peluang sepenggal lagi sebab kita tahu dia akan dapat membuat penambahbaikan dan memantapkan lagi gerak kerja Wanita Umno," katanya.
- Bernama

