Muhyiddin hairan dengan penentangan Dong Zong
Timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menangkis dakwaan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) bahawa pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) akan menyebabkan bahasa Cina dan sekolah jenis kebangsaan Cina terhapus.
Menurut laporan Utusan Malaysia hari ini, Muhyiddin hairan dengan penentangan Dong Zong kerana badan tersebut menurutnya terlibat dalam perbincangan awal berhubung pelaksanaan dasar tersebut sebelum ini.
“Apa yang kita buat ini tidak menyalahi undang-undang negara atau Dong Zong sengaja mahu melihat sekolah kebangsaan terus mundur dan jika mundur, tidak akan menjadi ancaman kepada sekolah jenis kebangsaan.
“Apa tujuan mereka? Jika itu tujuannya, menunjukkan niat mereka yang tidak baik,” katanya seperti dipetik Utusan.
Muhyiddin mengulas kempen mengutip tandatangan yang dijalankan Dong Zong bersama beberapa NGO Cina yang dilancarkan sejak dasar tersebut dilancarkan
Kumpulan berkenaan kini menggiatkan kempen dengan mengadakan siri perhimpunan bagi membantah dasar tersebut, yang akan dilaksanakan pada bulan depan.
Dong Zong turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, sejuru sebelum pilihan raya umum 5 Mei denganb membawa tuntutuan berhubung pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC).

