Penulis blog seks cabar kesahihan pertuduhan
Penulis blog seks Alvin Tan and Vivian Lee memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mencabar kesahihan, termasuk di sudut perlembagaan satu daripada tiga pertuduhan terhadap mereka, Mahkamah Sesyen diberitahu hari ini.
Peguam Tan, Chong Joo Tian, memberitahu mahkamah bahawa permohonan itu untuk mencabar pertuduhan kedua bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan.
Pasangan itu dituduh memuatkan gambar mereka makan bak kut teh dengan ucapan "Selamat Berbuka Puasa with bak kut teh... fragrant, delicious and appetising ", bersama logo halal di Facebook "Alvin and Vivian - Alvivi".
Chong berkata, Mahkamah Tinggi belum memutuskan tarikh untuk mendengar permohonan tersebut.
Hakim Mahkamah Sesyen Dazuki Ali menetapkan 19 September untuk sebutan bagi menunggu keputusan Mahkamah Tinggi.
Mahkamah Sesyen sepatutnya memutuskan tarikh perbicaraan hari ini. Pasangan itu enggan bercakap kepada pemberita ketika meninggalkan mahkamah.

