Kasino rahsia di bengkel kereta dalam semak
Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan kegiatan perjudian haram terbesar tahun ini di negeri ini dengan nilai pertaruhan mencecah RM450,000 di Air Itam, awal hari ini.
Sebuah 'mini kasino' yang berselindung di belakang sebuah bengkel kereta di Air Itam, diserbu pasukan polis D7 dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Timur Laut, dalam operasi yang dikenali sebagai 'Ops Dadu'.
Selain jauh dari petempatan penduduk, ia dikelilingi semak dan pengunjung perlu menyeberang sungai dengan jambatan untuk ke situ, menjadikannya lokasi cukup strategik untuk menjalankan kegiatan berjudi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata hasil maklumat orang ramai, pihak polis membuat intipan terhadap bengkel tersebut sejak tiga hari lepas.
Katanya sepasukan polis seramai 10 anggota yang diketuai Insp Cheok Kian Soon, dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat menyerbu bengkel kereta itu kira-kira 2.30 pagi.
"Dalam serbuan tersebut, polis menahan 12 orang kaki judi termasuk empat wanita dalam lingkungan usia 30 hingga 50 tahun dan merampas pelbagai cip yang bernilai RM250,000," katanya ketika dihubungi di Georgetown hari ini.
Gan berkata pihak polis terpaksa berdepan dengan pelbagai ancaman tonto sebelum berjaya menyerbu bengkel itu.
Siasatan awal polis mendapati kumpulan itu menjalankan kegiatan haram berkenaan sejak beberapa bulan lalu dengan setiap pertaruhan mencecah RM450,000.
"Kesemua mereka yang ditahan, dibawa ke IPD Timur Laut untuk disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 setiap seorang atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya," katanya.
Beliau yakin serbuan itu merupakan yang terbesar di negeri ini setakat ini, dan pihak polis akan menjalankan lebih banyak operasi bagi membanteras kegiatan itu.
- Bernama

