Anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang baharu bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 15 Julai lepas.
Ketua Pengarah LKIM Datuk Mohad Khazin Hamzah berkata pelantikan itu dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Irmohizam menggantikan Datuk Mohd Jidin Shafee yang kini Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Permaisuri dan exco Pelancongan negeri Terengganu," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.
Irmohizam, 37, sebelum ini merupakan pegawai khas kepada perdana menteri dan beberapa menteri lain sebelum bertanding di Parlimen Kuala Selangor atas tiket BN pada pilihan raya umum ke-13 Mei lepas. Beliau mengalahkan Pengarah Strategik PAS Pusat Dr Dzulkifly Ahmad.
Beliau yang sebelum ini Pensyarah di Fakulti Undang-Undang UiTM, Shah Alam, mempunyai kelulusan Ijazah Undang-Undang daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Irmohizam kemudian menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana Undang-Undang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan mempunyai Diploma Lanjutan Undang-Undang Syariah dan Amalan Guaman dari UIAM dan kini sedang menyambung pelajaran di peringkat Doktor Falsafah Undang-Undang di UKM.
Irmohizam yang aktif dalam pergerakan belia, merupakan Presiden Majlis Belia Selangor, Setiausaha Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Penolong Ketua Pesuruhjaya Persekutuan Pengakap Malaysia, Anggota Majlis Perundingan Belia Negara, Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan, Naib Presiden Majlis Belia Malaysia, Presiden Yayasan Ehwal Siswa (YES), Ahli Lembaga Pemegang Amanah dan Exco 1M4U.
Beliau juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
- Bernama
