Ibarat diberi nyawa kedua, kata mangsa nahas
Salah seorang mangsa yang terselamat dalam nahas bas Genting Highlands sempat menghubungi bapanya sebelum bas yang dinaikki itu terbabas dan terjunam ke dalam gaung.
Sinar Harian melaporkan, bapa mangsa, Misbun Hastam, 43, berkata, anaknya Saidah Misbun, 19, menghubunginya sambil merintih memberitahu bas yang dinaiki terlibat kemalangan dan meminta tolong sebelum talian terputus.
"Saidah merintih sakit, dalam masa sama saya dengar bunyi riuh rendah jeritan penumpang lain termasuk takbir.
"Saya terlalu terkejut dengan situasi itu dan selepas talian terputus kami cuba menghubunginya lebih 20 kali sebelum panggilan diangkat oleh pasukan perubatan memaklumkan dia cedera," katanya seperti dipetik Sinar Harian .
Selain itu, seorang lagi mangsa yang terselamat, Suryadi Budiarto, 52, seorang warganegara Indonesia menceritakan, beliau ibarat diberi nyawa kedua selepas terselamat daripada kemalangan ngeri bas henti-henti Genting- Kuala Lumpur yang melibatkan 37 kematian.
Suryadi yang hanya mengalami kecederaan patah tangan kiri berkata, beliau bukan sahaja terjunam bersama bas sedalam 60 meter tetapi turut tercampak lebih kurang tiga meter dari tempat kejadian.
"Saya beli tiket RM5.90 dan duduk di tempat bernombor 37. Suasana dalam bas ketika itu penuh dengan penumpang termasuk empat orang lelaki sedang berdiri.
"Semasa memulakan perjalanan terdapat masalah di hadapi bas. Pergerakannya tidak lancar dan agak laju," katanya yang menaiki bas tersebut kira-kira jam 2 petang.
Beliau juga memberitahu, bas dinaikinya itu dipercayai cuba mengelak sebuah trak, kemudian merempuh pengadang jalan di sebelah kiri.

