"Saya kecewa," demikian reaksi Amran Ahmad Nor, anak bekas allahyarham naib pengerusi DAP, berhubung keputusan DAP tidak membenarkan calon baru bertanding dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada 29 September ini.

Beliau yang menawarkan diri bertanding jawatan itu sebelum ini berkata, kekecewaannya bukan sekadar untuk diri sendiri tetapi lebih kepada kemampuan DAP untuk menarik sokongan Melayu dalam mendepani suasana politik.

"Agak malang apabila DAP tidak mengambil peluang kali ini untuk menambah anggota CEC berbangsa Melayu dengan tidak mahu mengetengahkan calon Melayu yang baru setelah ahli-ahlinya menolak calon-calon Melayu yang bertanding dalam konvensyen terdahulu.

"Saya berpendapat DAP kian berada dalam kedudukan goyah jika secara berterusan bergantung kepada undi masyarakat Cina sahaja kerana desas-desus makin kuat mengenai kedudukan komponen parti dalam Pakatan Rakyat kian tergugat," katanya dalam kenyataan.

Katanya, walaupun memahami keputusan mengadakan pemilihan semula dalam 'keterpaksaan', DAP sepatutnya mengambil peluang mengukuhkan kedudukan dengan mencalonkan lebih ramai ahli Melayu ke CEC berbanding lapan orang sebelum ini.

Melihatkan trend keputusan sebelum ini yang menyaksikan kesemua pemimpin DAP Melayu tersingkir mengikut pengiraan undi pada 16 Disember 2012 sebelum pengiraan semula, Amran menjangkakan ahli DAP akan memberikan keputusan yang 'serupa' pada pemilihan akan datang.