Waytha: Saya tak boleh jadi sekadar pemerhati
Pemimpin Persatuan Hindraf Malaysia P berkata, sebagai pemimpin masyarakat terpinggir, beliau tidak boleh kekal sebagai pemerhati tidak berpihak hanya kerana beliau kini berada dalam kerajaan.
Dalam kenyataan berkaitan, timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi sebelum ini salah faham hasratnya.
"Menjadi pemimpin golongan India yang terpinggir di negara ini, saya tidak boleh hanya menjadi pemerhati tidak berpihak di luar hanya kerana saya berada dalam kerajaan," katanya.
"Malah, ia menjadi kelebihan kepada kerajaan apabila saya menyuarakan sentimen sebenar atas alasan saya boleh menyumbang secara positif kepada objektif dan urus tadbir yang baik oleh kerajaan."
Waytmamoorthy ( atas ) berkata, beliau tidak berhasrat campur tangan dengan kerja-kerja polis apabila mengkritik tindakan tembak mati lima suspek anggota kongsi gelap di Pulau Pinang baru-baru ini.
Zahid pada 22 Ogos lalu menasihatkan Waythaoorthy tidak mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan dasar yang ditentukan kerajaan.
Waythamoorthy dilapor berkata, beliau tidak percaya berlaku tembak menembak antara pasukan polis dengan suspek, sebaliknya mencadangkan mereka ditembak pada jarak dekat.
Secara menyindir, Zahid berkata, Waythamoorthy jangan masih ingat beliau pemimpin NGO dan Hindraf.
Dalam insiden itu polis menembak mati lima anggota kumpulan kongsi gelap dipercayai pembunuh upahan yang dikehendaki polis kerana terbabit dalam kes bunuh dan cubaan bunuh di Pulau Pinang.

