'Imej Cina di Bukit Bintang sudah tebal'
Satu tulisan lidah pengarang akhbar Mingguan Malaysia hari ini mempersoalkan keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur meluluskan projek bernilai RM12 juta untuk membangunkan hab makanan Cina di Jalan Alor di Kuala Lumpur.
Menurut tulisan itu, projek tersebut tidak sepatutnya memberi kepentingan kepada kaum tertentu, apatah lagi apabila “imej Cina di Bukit Bintang itu sudah tebal”.
"...Untuk apa lagi diwarnai kawasan itu seolah-olah mahu dijadikan seperti bandar Hong Kong," tulisan itu dipetik.
Menurut tulisan pengarang yang mengguna nama pena Awang Selamat itu, pihak berkuasa sepatutnya memajukan hab makanan Melayu terlebih dahulu.
“Perlu diiingat Malaysia adalah negara pelbagai kaum yang Melayu dan Bumiputera masih menjadi teras. Sama ada suka atau tidak, inilah hakikatnya.
“Maka memang wajar jika projek berkenaan menerima banyak bantahan terutama daripada badan bukan kerajaan mahu ia dibatalkan,” tulisan itu dipetik.
Malah, pengundi di kawasan tersebut juga tidak pernah menyokong kerajaan, dakwa tulisan tersebut.
“Sejak dahulu lagi pengundi kawasan itu tidak pernah menyokong kerajaan, yang jika diberi bulan dan bintang sekali pun tidak akan menghargainya”.
Tulisan berkenaan menjadi pendirian akhbar milik Umno ke atas penjelasan Datuk Bandar Kuala Lumpur Ahmad Phesal Talib yang memberi alasan bahawa projek berkenaan adalah untuk menaik taraf dan memajukan Jalan Alor sebagai tarikan pelancongan.

