Yayasan kebudayaan mahu terbit kamus Iban tulen
Yayasan Kebudayaan Dayak (DCF) merancang untuk membangunkan sebuah kamus komprehensif bahasa Iban-Inggeris bagi memelihara budaya dan bahasa masyarakat itu untuk generasi akan datang.
Pengerusi DCF, Tan Sri Alfred Jabu berkata DCF sedia menaja penerbitan kamus yang dirancang untuk dibangunkan tidak lama lagi itu sebagaimana dilakukan bagi penghasilan kamus Bidayuh-Inggeris dan kamus Orang Ulu-Inggeris.
"Kamus tersebut akan menggunakan bahasa Iban yang paling tulen," katanya yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak pada menutupan majlis Simposium Budaya Iban kali keenam di sini malam tadi.
Jabu juga berkata, DCF juga merancang untuk mengumpul dan memelihara bahan arkib mengenai budaya masyarakat Iban dalam format digital yang akan diperoleh dari Radio Televisyen Malaysia (RTM), Kuching.
"Usaha ini akan menambahkan bahan sedia ada selain meningkat dan memperkayakan kajian mengenai bahasa Iban," katanya.
Mengenai simposim yang dihadiri 470 peserta dari pelbagai sektor termasuk akademik, anggota politik, penjawat awam, wakil badan bukan kerajaan dan pemimpin masyarakat itu, Jabu menyifatkan ia sebagai berjaya dan simbol perpaduan masyarakat Iban.
Simposium tiga hari bermula Jumaat itu, turut menghasil resolusi penting mengenai sebarang pembaikan atau pembangunan di rumah panjang dan jawatankuasa keselamatan, hanya akan dibenarkan jika mendapat geran sebanyak RM10,000.
"Jika pihak berkuasa negeri bersetuju untuk cadangan ini, kamu melalui wakil iaitu Datuk Alexander Nanta Linggi yang merupakan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan berbincang dengan kerajaan Pusat," katanya.
- Bernama

