Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Respek Wanita: Masyarakat Sejahtera' jadi tema sambutan

Kerajaan akan terus memberi peluang kepada wanita agar kedudukan golongan itu dalam pembangunan dan transformasi negara dapat dipertingkat, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata ini kerana wanita berupaya menjalankan tugas dan menggalas amanah yang diberikan dengan baik, sama ada di dalam kerajaan mahupun dalam keluarga.

"Tidak ada masalah dari segi kerajaan untuk terus memberi peluang kepada wanita...bila kita bagi jawatan-jawatan penting di dalam kerajaan, pentadbiran, umumnya wanita telah membuktikan kemampuan mereka," katanya ketika berucap melancarkan sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2013 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim dan timbalannya Datuk Azizah Mohd Dun serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Najib berkata sejajar degan tema sambutan Hari Wanita tahun ini iaitu 'Respek Wanita: Masyarakat Sejahtera', wanita perlu dihormati dan dilayani dengan baik walau di mana sahaja mereka berada baik di rumah, pejabat hatta di dalam lif sekalipun.

"Wanita ni ada keinginannya, tetapi mereka segan nak sebut, jadi kita kena beri pertimbangan berdasarkan kepada keadaan semula jadi wanita ini dan saya kira wanita ini yang diutamakan ialah respek, jadi kita kena beri peluang kepada wanita," katanya.

Beliau berkata selain hormat terhadap wanita, perlu juga ada sikap saling memahami iaitu lelaki perlu memahami kehendak wanita begitu juga sebaliknya untuk memastikan sesebuah masyarakat atau keluarga kekal sejahtera.

Najib berkata kerajaan juga berharap agar semua pihak dapat menyediakan kemudahan-kemudahan untuk keperluan kaum wanita kerana tidak dinafikan wanita melakukan pelbagai tugasan ataupun 'multi-tasking'.

"Jadi, kalau kita memahami dan respek kehendak wanita, kita boleh menyesuaikan tempat kerja itu memenuhi keperluan wanita yang terpaksa mengamalkan multi tasking, antaranya menyediakan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja, melaksanakan 'flexi hours' dan membenarkan bekerja dari rumah,"

katanya.

Perdana menteri berkata menerusi pelbagai langkah signifikan yang telah diperkenal dan dilaksanakan kerajaan, beliau mahu golongan wanita percaya bahawa kedudukan kaum itu di negara ini sentiasa mendapat perhatian daripada kerajaan.

Sementara itu, Rohani dalam ucapannya berkata tema sambutan kali ini dipilih untuk meningkatkan kesedaran segenap lapisan masyarakat termasuk golongan lelaki, mengenai perkongsian hak dan tanggungjawab dalam mewujudkan sebuah masyarakat progresif yang sensitif gender dan bebas daripada segala bentuk diskriminasi dan keganasan.

"Selain itu, tema ini dipilih untuk mengingatkan semua bahawa mesej respek wanita ini bukan hanya ditujukan khas kepada kaum lelaki dalam konteks keganasan, penghormatan terhadap wanita perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas iaitu wanita juga perlu menghormati diri mereka sendiri dan wanita lain.

"Wanita perlu mempunyai solidariti yang kukuh, kesatuan wanita yang kukuh boleh membantu memperkasakan wanita dalam masyarakat," katanya.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan anugerah Pengiktirafan Respek Wanita kepada beberapa individu daripada pelbagai kategori sebagai ikon di dalam usaha, dedikasi dan komitmen mereka dalam membanteras keganasan terhadap wanita.

Antaranya Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Kuala Lumpur (HKL) Datuk Seri Dr Abu Hassan Asaari Abdullah, penganalisis jenayah Kamal Affandi Hashim dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) Datuk Faridah Khalid.

- Bernama

ADS