Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Badan perniagaan M'sia minat teroka Afrika Selatan
Diterbitkan:  Aug 27, 2013 11:24 AM
Dikemaskini: 3:27 AM

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia amat menghargai sokongan Afrika Selatan terhadap pencalonannya ke badan-badan dunia, termasuk status Anggota Tidak Tetap di Majlis Keselamatan PBB pada 2015.

"Kami juga amat berterima kasih terhadap penglibatan berterusan Afrika Selatan dalam Dialog Antarabangsa Langkawi, yang memupuk kolaborasi Selatan-selatan.

Kerjasama politik yang lebih rapat ini disusuli dengan peningkatan aktiviti ekonomi bilateral, katanya.

Perdana Menteri berucap pada majlis jamuan rasmi yang beliau adakan untuk meraikan Presiden Afrika Selatan Jacob Gedleyihlekisa Zuma dan isterinya Nompumelelo Ntuli-Zuma di Seri Perdana di Putrajaya malam tadi.

Zuma, yang dipilih sebagai presiden pada 2009, tiba semalam (Ahad) untuk lawatan kerja tiga hari ke Malaysia.

Najib berkata: "Malaysia merupakan pelabur awal yang penting di Afrika Selatan demokratik. Sekalipun mengalami rosotan semasa krisis kewangan Asia pada lewat 1990an, syarikat-syarikat kami baru-baru ini mula menampung semula tempoh ketiadaan mereka itu.

"Usaha sama antara Petronas dan Pembani Group, dan kolaborasi antara Deftech dan Denel, dan antara Pacific & Orient Insurance dan Sanlam Limited, adalah penzahiran keyakinan yang meningkat dalam hubungan antara negara kita".

Beliau juga menekankan bahawa badan perniagaan Malaysia berminat meneroka di Afrika Selatan dan menjejaki pasaran Afrika yang lebih luas dan berharap badan perniagaan Afrika Selatan melihat peluang serupa di Malaysia.

Najib turut mengucapkan tahniah kepada Presiden Zuma yang akan menerima anugerah Doktor Kehormat bagi Kepimpinan Kemanusiaan dari LimKokwing University of Creative Technology, dan kepada Presiden Nelson Mandela yang menerima anugerah untuk "Lifetime Campaigner for Global Peace" Yayasan Keamanan Global Mahathir pada Selasa.

Presiden Zuma berkata, selain memperkukuh hubungan bilateral, kedua-dua negara memerlukan kerjasama kukuh dalam pelbagai aspek untuk manfaat ekonomi dan politik.

Turut hadir di majlis itu ialah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewan Ebin; dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS