Singapura mungkin mengalami keadaan sedikit berjerebu dalam tempoh dua tiga hari akan datang susulan peningkatan titik panas yang ketara di Sumatera ditambah keadaan cuaca kering yang diramal berterusan.

Agensi Alam Sekitar Nasional (NEA) dalam satu kenyataan di Singapura semalam, berkata bilangan titik panas terkini di Sumatera ialah 488 iaitu 267 di Riau dan baki di selatan Sumatera.

Selain itu, beberapa titik panas terbabit juga dikesan membebaskan asap dengan sesetengahnya asap tebal, kata kenyataan berkenaan.

Menurut kenyataan itu dalam keadaan cuaca panas kering sekarang yang diramal berterusan dan jika keadaan angin menjadi lemah serta bertiup dari arah barat daya, Singapura mungkin mengalami jerebu.

- Bernama