Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zuma pulang lepas lawatan 3 hari ke M'sia
Diterbitkan:  Aug 28, 2013 8:55 AM
Dikemaskini: 12:57 AM

Presiden Afrika Selatan Jacob Gedleyihlekisa Zuma berangkat pulang ke negaranya selepas berada di Malaysia sejak Ahad sempena lawatan kerja tiga hari ke negara ini.

Zuma, yang dilantik Presiden pada 2009, diiringi isteri, Ntuli-Zuma serta Menteri Kabinet, pegawai kanan kerajaan dan ahli perniagaan.

Turut menghantar pulang delegasi itu di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ialah Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin pada kira-kira 11 malam tadi.

Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak dilantik Presiden Afrika Selatan pada 2009 meskipun pernah ke negara ini pada 1999 dan 2002 bagi menghadiri Dialog Antarabangsa Langkawi.

Pada 2003, Zuma menyertai Persidangan Keamanan Dunia semasa menjadi Timbalan Presiden Afrika Selatan, dan lawatan kali keempat ke Malaysia jelas mencerminkan hubungan dua hala yang baik serta erat antara kedua-dua negara.

Lawatan itu bertujuan mempertingkat hubungan erat yang sedia terjalin antara kedua-dua negara.

Dalam lawatan itu, Zuma diberi sambutan rasmi di Dataran Perdana, Putrajaya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum mengadakan mesyuarat empat mata diikuti mesyuarat bilateral.

Pada mesyuarat itu, kedua-dua pemimpin membincangkan isu seperti pendidikan, tenaga, pelancongan, sains dan teknologi, pengangkutan, sumber manusia serta pembangunan kemahiran.

Pasangan tetamu negara itu turut dirai Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam satu majlis makan malam di Seri Perdana, Putrajaya.

Zuma juga melawat ibu pejabat IRIS Corp di mana beliau diberi taklimat berkaitan projek kampung pintar Rimbunan Kaseh di Tanjung Besar, Pahang yang merupakan ilham Najib, dan dimajukan syarikat itu serta melawat Wisma Felda.

Beliau turut menerima Ijazah Doktor Kehormat Kepimpinan Kemanusiaan daripada Universiti Lim Kok Wing dan anugerah 'Lifetime Campaigner for Global Peace' bagi pihak bekas Presiden Afrika Selatan Nelson Mandela daripada Yayasan Keamanan Global Mahathir.

Sementara itu, isteri beliau, Ntuli-Zuma turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Rosmah dan melawat pusat PERMATA Pintar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS